Pemuliharaan bangunan lama merupakan suatu perkara yang baru bagi sesetengah masyarakat Malaysia dewasa ini.
Di bandar-bandar lama seperti Georgetown, Melaka, Taiping, Kota Bharu, Kuching dan Kuala Lumpur, pelbagai usaha pemuliharaan bangunan telah diambil oleh pihak awam dan swasta bagi mempastikan bangunan-bangunan lama yang mempunyai warisan sejarah, seni bina dan budaya dapat dipelihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.
Di Georgetown, Pulau Pinang, terdapat beberapa buah bangunan lama yang telah dipulihara dengan baik. Salah sebuah bangunan yang telah dipulihara ialah Masjid Melayu Lebuh Acheh di Lebuh Acheh yang dibina pada 1808.
Terletak berdekatan dengan beberapa buah bangunan bersejarah di kawasan warisan di tengah bandar Georgetown seperti Rumah Syed Al-Attas dan To’Kong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh ini mempunyai warisan sejarah dan seni bina yang tinggi terutamanya di zaman kegemilangan serta kebangkitan Islam di Pulau Pinang pada awal abad ke 19.