Penyerahan Watika Dari UNESCO

Struktur Bangunan

   Dari segi aspek sejarah dan latar belakangnya yang menarik, perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mempunyai warisan seni bina yang unik. Masjid Melayu Lebuh Acheh yang dilengkapi dengan menara bersegi lapan, kolah wudhuk, tandas, perigi, anjung (verandah) dan kawasan makam yang mencerminkan gabungan pengaruh seni bina Moorish (seni bina yang berasal dari utara India), Cina dan Klasikal. 

  Gaya dan rekabentuk seni bina ini boleh dilihat pada archa atau gerbang di pintu masuk, kubah kecil di atas tembok bumbung (parapet), ukiran bertanduk di tetulang (roof ridges) bumbung utama yang berbentuk Bumbung Lima, tingkap dan pintu kayu yang dilengkapi dengan ukiran tembus kerawang di bahagian atas (fanlights), tiang klasikal, ukiran lepa (plaster rendering) yang menarik di bahagian mehrab dan atas dinding; serta menara yang berbentuk seakan pagoda Cina. Manakala seni bina kebanyakan rumah kediaman di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mencerminkan rumah kayu tradisional Melayu yang berelemenkan tingkap ram, tangga di pintu masuk utama, pintu berdaun dan ukiran tembus kerawang. Terdapat juga beberapa buah rumah yang bercirikan rumah tradisional bandar yang menggunakan bahan batu-bata di tingkat bawah dan kayu di tingkat atas.

   Selain daripada masjid dan rumah kediaman tradisional, deretan rumah kedai di Lebuh Acheh juga mempunyai rekabentuk seni bina yang menarik. Terdapat 3 jenis rekabentuk rumah kedai di sini iaitu rekabentuk tradisional, klasikal dan Straits Eclectic. Rumah kedai yang mempunyai rekabentuk tradisional atau early permanent boleh dilihat di rumah kedai beralamat No. 77, 79 dan 81, Lebuh Acheh. Rumah kedai ini tidak mempunyai lorong kaki lima di tingkat bawah manakala di tingkat atasnya terdapat tingkap kayu berdaun. 

   Jenis rumah kedai klasikal pula boleh dilihat di alamat No. 83, 85 dan 87, Lebuh Acheh. Terdapat pengaruh rekabentuk klasikal di fasad hadapan rumah kedai ini seperti tiang Corinthian di tingkat bawah, pilaster, archa dan ukiran lepa di tingkat atas disamping tingkap kayu dan kaca. Lorong kaki lima pula ada terdapat di rumah kedai jenis ini. 

   Manakala rumah kedai dengan rekabentuk Straits Eclectic, yang beralamat di No. 47, 49, 51, 53, 53a dan 55, Lebuh Acheh mempunyai ciri-ciri seni bina seperti lorong kaki lima, tiang penyokong, dinding penghalang (party walls), tingkap kayu dan pengalir udara (air wells).