Penyerahan Watika Dari UNESCO

Sejarah



   Sejarah Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada 1792 apabila Tengku Syed Hussain Al-Aidid iaitu seorang kerabat diraja Acheh, Sumatera, Indonesia telah membuka sebuah kawasan perkampungan masyarakat Islam seluas 66,000 kaki persegi di Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang. 

   Tengku Syed Hussain Al-Aidid adalah seorang pedagang Acheh yang kaya dan berjaya ketika Pulau Pinang baru dibuka oleh Kapten Sir Francis Light pada akhir abad ke 18. Dengan kekayaan yang dimilikinya, Tengku Syed Hussain Al-Aidid dengan kerjasama kaum keluarga dan pengikutnya telah membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Acheh dengan mendirikan sebuah masjid, menara, rumah kediaman, deretan rumah kedai, Madrasah Al-Quran dan pejabat perdagangan. 

   Hasil usahanya ini secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah pusat pengajian agama Islam dan pusat perdagangan antarabangsa yang bukan sahaja terkenal pada ketika itu tetapi yang terulung dan terawal di Pulau Pinang. 

   Bilangan penduduk dan masyarakat di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah berkembang pesat dengan kedatangannya ramai pedagang-pedagang baru dari negeri-negeri di Tanah Melayu, Tanah Arab dan India. Selepas kematian Tengku Syed Hussain Al-Aidid pada pertengahan abad ke 19, perkampungan ini terus berkembang maju dan telah mencapai tahap kegemilangannya sehingga akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Beliau telah disemadikan di sebuah makam yang terletak di bersebelahan Masjid Melayu Lebuh Acheh. Di kawasan makam ini juga terdapatnya beberapa kubur ahli keluarga Tengku Syed Hussain Al-Aidid.


   Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menyaksikan pelbagai jenis perdagangan termasuk perniagaan rempah ratus, bazar pakaian dan barangan kemas, percetakan kitab agama Islam, pengurusan haji dan kedai-kedai makanan. Suatu ketika dahulu, perkampungan ini telah dikenali sebagai "Jeddah Kedua" di rantau ini. Ini adalah kerana di kawasan inilah ratusan bakal-bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah. Bakal-bakal haji ini akan menaiki kapal laut yang telah disewa dari syarikat swasta Inggeris, Mansfield & Co. di bawah jaminan Sheikh Zakaria Basheer. 

   Setiap kali musim haji tiba, perkarangan dan persekitaran Masjid Melayu Lebuh Acheh menjadi sibuk bukan sahaja dipenuhi oleh bakal-bakal haji yang menunggu dokumen-dokumen haji mereka diproses tetapi juga dibanjiri oleh saudara-mara dan sahabat-handai. Ini telah menyebabkan hampir kesemua rumah-rumah di kawasan masjid ini telah disewakan kepada orang ramai. 

   Walau bagaimanapun, segala urusan haji telah terhenti semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula pada 1949. Dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia pada awal 1970’an, perkhidmatan pengurusan haji di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah dihentikan.
   Selain daripada menjadi pusat perniagaan Melayu dan pusat haji, kawasan perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi pusat pengajian agama Islam yang terulung di Pulau Pinang. Sheikh Omar Basheer Al-Khalilee yang pernah tinggal di rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh telah menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh sebelum pertengahan abad ke 19 dan juga pernah mengajar agama Islam kepada masyarakat tempatan. 

   Selepas kematian Sheikh Omar Basheer, anaknya Sheikh Zakaria telah mengambil-alih tugasnya sebagai pemimpin agama di kawasan tersebut. Sheikh Zakaria kemudiannya telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama. Pada 1888, abangnya Sheikh Yahya telah dilantik sebagai Kadi Pulau Pinang yang pertama yang mana beliau telah menjadikan rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh sebagai pejabat kadinya. Kemudian pada 1917, Sheikh Zakaria telah menjadikan rumah kediamannya sebagai Madrasah Al-Quran.
  
   Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh yang suatu ketika dahulu begitu terkenal dengan aktiviti-aktiviti agama, perdagangan dan urusan hajinya kini hanya mengekalkan aktiviti perniagaan dan percetakan buku-buku agama Islam termasuk Al-Quran dan muqaddam. Begitu juga dengan fungsi masjid yang masih kekal sehingga kini.